ASSALAMUALAIKUM

Katakanlah (wahai Muhammad): Sekiranya air lautan itu menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, nescaya akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku ditulis, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya. (109; Al-kahfi)

Tuesday, May 31, 2022

Ayah tidak lagi seperti dahulu

Kadangkala aku merasa hairan,
Mengapa mudahnya kaki ku melangkah...
Seringkali aku kebingungan,
Senangnya tangan ku menggapai sesuatu...

Aku hairan kerana ku lupa,
Aku bingung kerana ku alpa,
Akan seorang insan hebat bergelar bapa,
Yang sentiasa mendampingi setiap ketika...
 
Anak2 ayah sentiasa ayah sayang,
Titipan doa dari ayah tidak pernah lekang,
Nasihat ayah sentiasa menjadi perangsang,
Bahkan kebanggaan ayah kepada kami tidak pernah hilang...

Namun Ayah tidak lagi seperti dahulu,
Pernah tubuhnya rebah terbaring layu,
Berdiri sendiri tidaklah dia mampu,
Berjalan juga sentiasa dipapah dan dibantu...

Kini setahun lebih telah berlalu,
Dengan tekad dia mampu berdiri melangkah maju...
Namun jalannya tidak lagi selaju dan sekuat dulu,
Bahkan bahunya sering sakit-sakit selalu...

Walau bagaimanapun semangatnya tak pernah pudar,
Masih gigih ke masjid dan surau untuk mengajar,
Masih teguh mendokong perjuangan dasar,
Masih mampu mengukir senyuman lebar,
Masih bertenaga melayan cucu yang makin membesar...

Hari ini genap umur ayah 59 tahun...
Moga Allah panjangkan umur ayah, terus diberikan kesihatan buat ayah, dan dikurnia kebahagiaan dalam hidup...





Wednesday, February 12, 2020

Sebuah Kemaafan

Adakala gurauan itu keterlaluan dan menyakitkan...Bukanlah kerana kesakitan itu yang dihajatkan, tetapi keakraban yang menjadikan ia terucapkan...

Adakalanya teguran itu tidak bertempat dan buruk bila dilafazkan... Bukanlah memberi malu itu yang diniatkan, tetapi hanya kerana diri dhaif dan tidak pandai dalam memberi teguran...

Adakalanya salah itu tidak bisa dimaafkan... Juga maaf itu mungkin sesekali tidak dapat mengubati dan memulihkan... Tapi diri ikhlas meminta kemaafan, dipalit rasa bersalah ke atas kekhilafan...


Sahabat itu adakalanya bersifat menjengkelkan... Mungkin kerana dia terlebih dari batas perbuatan percakapanya... Namun sahabat tetaplah seorang sahabat...


-Insanrabbani-

Sunday, September 25, 2016

KEMBALI BERJUANG

Telah kulalui hari-hari kegembiraan
Menyambung silaturrahim dan persaudaraan
Penat dan letih sekujur badan
Namun kepuasan hati lebih dirasakan

Kini perjuangan hakiki dimulakan kembali
Membina generasi bangsa agar hidup bermakna
Membina masyarakat agar hidup beragama
Membina kekuatan bekerjasama
Agar terlaksana nilai dan ajaran agama di bumi tercinta


Wahai anak-anakku!
Kembalikan semangatmu mengejar impian
Berjuang menimba ilmu berguna
Berkarya agar minda terbuka
Masa depan kalian bermula hari ini
Semoga kalian sentiasa berjaya


- Madah Seorang Ayah -

Wednesday, September 14, 2016

Hidup sebuah pilihan

Kadangkala aku harapkan,
Aku tidak pernah punyai pilihan...

Agar aku tidak bimbang dalam memutuskan,
Agar aku tidak salah dalam pemilihan,
Agar aku tidak kusut dalam pertimbangan,
Agar aku tidak perlu dipertanggungjawabkan...

Lalu aku bisa telusuri jalan yang hanya ditakdirkan,
Tanpa perlu jejak di persimpangan,
Tanpa perlu resah membuat keputusan,
Kerana yakin ianya kehendak Tuhan...

Namun aku sedar akan hakikat kehidupan,
Ianya adalah suatu pilihan,
Kita makhluk bergelar insan,
Bukan malaikat yang sentiasa dalam ketaatan...

Pilihlah jalan-jalan kebaikan,
Sebelum tiba hari penyesalan...
Agar kita tidak dipersoalkan,
Dalam memilih jalan-jalan kehidupan...

-insanrabbani-

Saturday, May 30, 2015

Aku yang sering 'lupa'



Aku semakin dewasa,
Telah aku lalui hayat ini lebih 2 dekad lamanya...
Perjalanan hidup ini penuh dengan kegembiraan dan kejayaan,
Sampai aku hampir terlupa akan sebabnya...

Penat dan lelah telah aku lalui untuk capai apa yang dicita,
Sehingga setiap kali aku mendapat kejayaan,
Aku akan berasa gembira dan bangga dengan diriku...

Namun aku lupa akan sesuatu...
Ada insan yang lebih penat dan lelahnya,
Yang tidak dapat ku tandingi akan keringatnya,
Hanya untuk melihat aku berjaya...
Malah dia insan yang lebih gembira dan bangga dari diriku sendiri,
Tatkala aku mencapai sesuatu kejayaan...  

Kadangkala aku berasa hairan,
Mudahnya kaki ku melangkah,
Senangnya tangan ku menggapai sesuatu...
Aku bingung kerana ku lupa... 
Akan seorang insan hebat yang bergelar ayah,
Yang sentiasa berada di sampingku setiap ketika...

Dahulunya dia bukan orang yang senang...
Mengembara ke tanah asing,
Dengan kudrat sebatang kara,
Membina kerjaya dan keluarga...

Hebatnya dia yang tidak pernah menzahirkan kesusahan itu,
Umpama aku hampir tidak pernah melihatnya berduka...
Dia yang tidak pernah lalai dalam memberi nafkahnya,
Sehingga aku tidak pernah kenal apa itu hidup susah...

Sempena hari ulang tahun kelahirannya...
Aku menulis madah ini untuk dirinya...
Untuk aku menghargai kehadirannya...
Agar aku tidak lagi lupa akan jasanya...
Dan untuk aku khabarkan pada dunia kesemuanya...
Dialah ayah yang tiada gantinya...


Kini janggutnya semakin memutih,
Namun senyumannya masih tetap sama...
Senyuman yang tidak akan pernah aku lupa selamanya...