ASSALAMUALAIKUM

Katakanlah (wahai Muhammad): Sekiranya air lautan itu menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, nescaya akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku ditulis, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya. (109; Al-kahfi)

Thursday, May 29, 2014

Ada apa dengan "ana" "anta" ...?

Bahasa Melayu merupakan bahasa yang amat kaya dengan perbendaharaan kata... Keunikan tatabahasa, peribahasa, simpulan bahasa,  penjogoh bilangan malah pantun yang berkerat2, menjadikan ia berbeza dengan bahasa lain di dunia.

Hakikatnya, setiap bahasa yang wujud atas muka bumi ini membawa nilai2 atau memperlihatkan budaya sesebuah bangsa yang menuturkannya... Dan begitu juga dengan Bahasa Melayu yang juga mempunyai nilai2 budayanya yang tersendiri... Yang mana Bahasa Melayu melambangkan kesopanan, peradaban serta nilai hormat menghormati orang2 melayu...

Sebagai contoh, kita boleh lihat dengan jelas nilai hormat menghormati ini pada penggunakan kata ganti nama diri yang berbeza. Kata ganti nama diri yang pelbagai ini mengandungi unsur2 penghormatan kepada seseorang berdasarkan umurnya, jantinanya, pangkatnya serta hubungan kekeluargaan...

Jika kita imbas kembali kata ganti nama diri pertama dan kedua yang pernah dipelajari di sekolah dulu, kita ada beberapa perkataan yang biasa digunakan:

"saya", "aku", "beta", "hamba", "patik",
"anda", "awak", "engkau" "tuanku", "kalian", "kamu"...

Malah dalam pertuturan seharian masyarakat kita, ramai juga yang selesa menggunakan loghat2 traditional tempat kelahiran masing2 seperti :

"kawe", "teman","mung", "demo", "cek", "hang"...

Juga secara bahasa pasarnya, ramai yang membahasakan diri dengan nama sendiri atau kedudukannya dalam family seperti :

 "adik", "ayah", "abang", "kak long", "angah", "pak cik"...

Selain itu, kita juga membahasakan seseorang dengan pangkat yang disandang dan statusnya:
 "Datok", "Tan Sri", "tuan", "puan", "cik"

Kesemua kata ganti nama diri yang wujud dalam bahasa melayu ini hanya diterjemahkan dengan dua/tiga perkataan sahaja dalam Bahasa Inggeris ( I & you) , Arab (ana & anta) , Perancis (je, tu/vous) dan beberapa bahasa lain di dunia... Dengan siapa sahaja mereka berbicara, sama ada kawan, ibu bapa, masyrakat awam, golongan pembesar atau raja, kata ganti nama diri ini tidak berubah... Malah bahasa inggeris, arab dan perancis ini juga mempunyai loghat2 yang berbeza mengikut tempat, namun perbezaan loghat mereka sesekali tidak mengubah kata ganti nama diri yang digunakan seperti Bahasa Melayu.

Tidak cukup sekadar itu sahaja... Ada juga segolongan masyarakat yang selesa menggunakan kata ganti nama yang berasal dari bahasa lain... Yang mana ianya bergantung kepada gaya hidup mereka dan masyarakat sekeliling...

Contohnya kata ganti nama inggeris : " I " , "you", yang selalu digunakan oleh anak2 muda melayu di bandar2 dan juga golongan datin2 dan datok2 atau golongan berada...

Tambahan pula, sering ditunjukkan di dalam filem2 melayu di mana gangster2 biasanya akan berbahasa dengan  "Gua" , "lu", yang hakikatnya berasal dari bahasa indonesia. Namun saya tidak pasti sejauh mana bahasa itu betul2 digunakan dalam kehidupan seharian mereka...

Pendek kata, dalam bahasa melayu, setiap faktor seperti jantina, umur, pangkat, tempat, malah gaya hidup membezakan pengunaan kata ganti nama diri ini...

Begitu juga dengan penggunaan "ana" dan "anta" yang berasal daripada bahasa arab... Yang mungkin dilihat lebih digunakan oleh ustaz2, aktivis2 dakwah, dan golongan yang berpendidikan agama.

Hakikatnya, penggunaan gaya bahasa "ana" "anta" dan yang sewaktu dengannya mengandungi nilai adabnya yg tersendiri... Ia merupakan kata ganti nama yang tidak terlalu "formal" dan tidak terlalu "tidak formal"... Yang mana ianya tidak dapat digantikan dengan mana2 penggunaan kata ganti nama diri yang lain dalam Bahasa Melayu... Jika kita anggap penggunaan "saya" itu agak formal dalam perbualan seharian, dan "aku" itu sesuatu yang "tidak formal", saya boleh katakan "ana" itu berada ditengah2 antara "saya" dan "aku" dari sudut ke"formal"annya...

Dan sebenarnya ia telah pon di"bahasamelayu"kan... Sebutan "enta" , "enti" itu lebih sering kedengaran daripada sebutan sebenar dalam bahasa arab "anta", "anti"... Juga ada yang suka menggunakan perkataan "entorang" iaitu "enta" + "korang" yang sepatuty disebut dengan "antum" dalam bahasa arab... Malah jarang kita dengar penggunaan perkataan "nahnu" (kami), "hua" (dia), "antuma" (kamu berdua) dan lain2... Maka boleh saya katakan, ianya adalah salah satu gaya berbahasa orang melayu dengan dhomir (kata ganti nama) yang berasal dari bahasa arab.

Namun penggunaan "ana", "anta" ini bukanlah melambangkan baik jahat seseorang... Dan tak perlulah memandang orang2 yg menggunakannya sebagai orang yg merasakan dirinya baik... Ianya bukan satu kemestian untuk seorang ustaz atau da'ie itu berbahasa dengan "ana", "anta"... Dan tidak semestinya mereka yang tidak ber"ana","anta" bukan seorang da'ie...

Ia juga bukan perkara yang boleh dipaksa untuk menggunakannya, namun mengikut kepada keselesaan masing2 juga kesesuaian keadaan dan orang yang kita sedang bercakap dengannya...

Hakikatnya "ana","anta" merupakan satu gaya berbahasa yg dibudayakan secara tidak formal... Dan ada sebab mengapa sebahagian golongan lebih selesa menggunakannya... Seperti mana yang telah saya katakan, bahawa setiap bahasa ini hadir seiring dengan budaya masyarakat asal yang menuturkannya... Maka pengistilahan kata ganti nama diri dalam bahasa arab ini secara tidak langsung membawa sekali nilai islam yang mewujudkan biah islamiyyah itu sendiri di dalam perbualan.

Wallahua'lam...

Wednesday, April 30, 2014

Wajah yang tidak sepadan dengan umurnya

"Awet muda" merupakan istilah yang digunakan untuk mereka yang kelihatan lebih muda dari umur asal mereka... Namun aku ni pula boleh dikategorikan dalam kalangan mereka yang "awet tua" (tak tau istilah apa yang patut digunakan). 

Berdasarkan pengalaman2 sebelum ni, bila berjumpa dengan seseorang buat kali pertama, biasanya persepsi pertama mereka akan melihat ku sebagai seorang yang lebih tua dari umur ku yang sekarang. Mungkin 3-5 tahun lebih tua. Barangkali kerana misai dan janggutku yang kian melebat dan mungkin juga kerana sifatku yang tak banyak berkata-kata atau "huha2" seperti kebanyakkan remaja...

Dan kemungkinan besar anda yang sedang membaca ini adalah salah seorang daripada mereka yang pernah mempunyai persepsi itu terhadap aku dulu...

Bila berjumpa atau berbual dengan sesiapa buat pertama kali, aku sudah tidak hairan jika mereka kebanyakkannya sedikit kehairanan bila tahu umurku yang sebenar. Kerana aku dah alami keadaan2 seperti itu saban kali. Jika mereka tahu aku masih belajar lagi, selalunya mereka akan bertanya, "Master ke PHD?". Jarang sekali yang yang tanya " Diploma ke Degree?", dan rasanya seperti tak ada yang bertanya begitu... 

Apabila datang ke program2 remaja, sama ada jadi peserta atau kadang2 menjadi facilitator, selalunya mereka yang sama umur dengan aku malah ada juga yang lebih tua akan memanggil atau menganggap aku sebagai "abang"... Biasanya aku akan membiarkan dan merahsiakan umurku yang sebenar jika tidak ditanya, kerana rasa 'best' pulak dipanggil "abang" oleh mereka yang sama umur... Rasa lebih dihormati, hehe... Maaf jika ada yang membaca post ini adalah salah seorang daripada mereka... Itu bukan menipu, cuma tak memberi tahu...

Sama juga keadaannya waktu baru masuk ke INTEC dulu, ada juga sahabat2 satu batch yang panggil "abang", menyangka aku senior di situ, dan ada juga yang kata muka aku macam muka bapak orang...

Pernah juga waktu umurku 19 tahun, aku duduk di atas motor depan sebuah kedai cermin mata, menunggu adik ku untuk mengambilnya pulang dari tempat tuisyen. Sedang termenung menunggu, tiba2 disapa oleh seorang makcik cina yang mungkin nak promosikan produk cermin matanya. Namun soalan pertama yang keluar, "abang, buat ape...? tunggu bini ke...?". Waktu tu aku sedar, muka aku macam muka orang yang dah kawen.

Kalau di kawasan perumahan aku di Malaysia, pakcik2 masjid selalu bertanya, "Berapa tahun lagi di Perancis?". Dan aku tidak hairan jika mereka terkejut yang aku ada lagi 3-4 tahun untuk habiskan belajar. Sebab aku dapat agak anggapan mereka terhadap umur ku. Malah ada yang terkejut bila mana mereka tahu baru habis SPM waktu umurku 17 tahun dulu.

Dan yang paling menariknya baru2 ini, waktu di tempat kerja praktikal, berbual2 panjang dengan seorang makcik perancis. Bermula dari bertukar2 cerita dan pendapat mengenai perbezaan budaya antara Malaysia dan Perancis, sehinggalah kepada hal2 yang berkaitan dengan keluarga... Dan dia bertanya satu soalan yang belum pernah ditanya sebelum ini...

"Vous avez combien d'enfant?" (Terjemahan: "Kamu ada berapa orang anak?")

Aku melihat wajah makcik itu, untuk memastikan pada riak wajahnya ada unsur2 humor atau gurauan. Namun soalan yang ditanya itu betul2 serius. "haha...", aku tergelak kecil, belum pernah orang bertanya kepada aku soalan yang seperti itu. Sebelum ni yang paling "extreme" pon tanya dah kawen ke belum. 


Aku tahu bukan aku seorang yang pernah menghadapi persepsi seperti ini dari masyarakat sekitar. Ramai juga mereka yang mukanya matang awal dari umurnya, dan ramai juga yang umurnya dah semakin meningkat, tapi wajahnya masih seperti pelajar sekolah menengah.

Apa2 pon, aku cuma mengharapkan sifat dan pemikiranku juga matang sepertimana dewasanya muka aku dipandang orang sekeliling... Kini genap umurku 21 tahun. Umur di mana Al Fateh menakhluki Konstantinople sebagai seorang khalifah dan panglima tentera... Namun tidak akan aku mampu menjadi sehebat dan sematang beliau...

Dulu pernah menulis mengenai kematangan remaja...
http://insanrabbani93.blogspot.fr/2013/11/jadilah-pemuda-yang-matang.html

Bila difikirkan kembali, aku lebih berasa selesa bersama dan berbual dengan orang2 yang lebih tua dari ku... Dan ayah aku juga pernah bercerita di mana dia mengalami perasaan yang sama waktu di zaman remajanya dulu... Aku juga kurang suka dilayan dan melayan mereka yang bersifat kebudak-budakkan. Mungkin juga kelemahan aku yang sukar masuk kepada semua jenis perangai manusia.

Bila bersama dengan masyarakat awam, aku merasakan umurku lebih tua, kerana pandangan dan layanan mereka. Namun bila berada di antara kawan2 yang sudah lama mengenali dan apabila melihat kepada umurku yang sekarang, aku berasa masih muda...

Hakikatnya rasa lebih tua dan rasa masih muda itu kedua2nya baik.
Rasa masih muda, memberi semangat untuk terus bekerja dan bergerak kerja untuk islam...
Rasa lebih tua mengingatkan kita akan dekatnya kita dengan kematian...
Namun rasa lebih tua juga menjadikan kita berasa dah sampai masanya untuk berumah tangga... Hehe...

Tuesday, March 4, 2014

Apa yang ditakutan dengan hantu ?

Hantu sudah terlalu sinonim dengan budaya masyarakat melayu di Malaysia. Kita sering dimomokkan dengan cerita2 hantu di mana2, terutamanya di asrama2, tanah kuburan, rumah2 kosong dan sebagainya. Peliknya masyarakat cina dan india di negara kita kebanyakkannya tidak mengalami gangguan hantu seperti mana masyarakat melayu. Buktinya, jarang sekali kita mendengar orang cina atau india yang dirasuk hantu.

Jika kita luaskan lagi skop perbincangan, kita dapat melihat budaya masyarakat yang berbeza mengenai gambaran mereka terhadap hantu di tempat masing2, mungkin juga hantu itu yang berbeza mengikut budaya masyarakat di sesuatu tempat... Kalau di Malaysia, hantu yang terkenal ialah pocong, pontianak, toyol, hantu raya, hantu galah dan lain2.... Manakala di dunia barat, kita selalu dengar hantu2 dari jenis zombi, hantu berbentuk anak patung, vampire(pontianak versi barat). Bila kita berpindah ke negara Cina pula, hantu2 yang mereka filemkan, selalu dikaitkan dengan kung fu dan kebanyakkannya filem berbentuk komedi bukan filem seram. Dan kita pergi ke Perancis pula contohnya, jarang sekali masyarakatnya menceritakan hal2 berkaitan dengan hantu, mereka umpama tidak mempunyai masalah dengan gangguan hantu, dan mungkin sebahagian besar dari mereka langsung tidak mempercayainya...

Siapakah dia atau apakah itu hantu?

Sebelum kita menyingkap dengan lebih lanjut kisah mengenai hantu, kita harus kenal siapakah atau apakah hantu ini sebenarnya. Hantu adalah istilah yang digunakan oleh manusia untuk menggelar jelmaan jin di dunia nyata. Hakikatnya, mempercayai kewujudan jin adalah sebahagian daripada iman, kerana ianya adalah antara perkara sam'iat yang disebutkan di dalam al-Quran.

Jin merupakan makhluk ghaib yang juga diciptakan untuk mengabdikan diri kepada Allah seperti manusia.

Surah Az-Zaariyaat ayat 56 :
" Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku." 


Seperti manusia, jin juga diberi pilihan untuk taat kepada Allah atau kufur. Maka terdapatlah dua golongan jin, iaitu jin islam dan jin kafir. Jin kafir ini digelar sebagai syaitan.

Bagaimana pula dengan Iblis? Iblis bukanlah dari golongan malaikat seperti mana yang sering kita dengarkan, namun jelas di dalam al-quran menyebut mereka adalah segolongan jin yang angkuh dan sombong untuk sujud kepada adam, mereka ingkar dengan perintah Allah, maka Allah laknat dan hukum mereka menjadi penghuni neraka. Sedangkan malaikat itu adalah makhluk yang sentiasa taat kepada Allah dan sesekali tidak pernah kufur.

Surah Al-Kahfi, ayat 50 :
" Dan ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali Iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka ia mendurhakai perintah Tuhannya....."

Namun siksaan azab itu Allah tangguhkan sehingga ke hari qiamat, maka golongan Iblis ini boleh menghasut manusia dan golongan jin yang lain serta anak cucu keduanya untuk menjadi teman mereka di neraka kelak.
(surah Al-Hijr, ayat 35-40)

Apa beza Iblis dan syaitan?
Iblis adalah segolongan jin yang terawal yang ingkar dan tidak mahu sujud kepada nabi adam. Namun tidak semua jin itu adalah iblis. Iblis ini lah yang berjanji akan menyesatkan umat manusia. Manakala anak cucu iblis ini dan sebahagian dari jin2 yang lain, ada yang mengikuti jejak langkah 'iblis original' tadi. Maka kesemua golongan2 jin yang kufur ini kita gelarkan sebagai syaitan.

Mengapa jin sering mengganggu dan menakutkan manusia?

Persoalan yang timbul, mengapa mereka suka mengganggu, sama ada gangguan dari sudut jelmaan, kerasukan, bunyi-bunyian, pergerakkan sesuatu benda dan sebagainya.
Sebelum menjawab persoalan ini, saya ingin mengutarakan dahulu faktor-faktor yang menjadikan manusia takut kepada hantu:

1) Fitrah manusia

Sudah menjadi fitrah manusia takut kepada sesuatu penampilan yang bersifat buruk dan menyeramkan. Maka tidak hairan jika manusia takut kepada hantu yang sering menjelma dengan wajah2 yang ngeri dan buruk dalam dunia yang sebenar.

Juga menjadi fitrah, manusia itu takut kepada sesuatu perkara yang berlaku diluar kebiasaan logik akal mereka. Maka mereka akan takut kepada bunyi2an atau pergerakkan yang tidak mempunyai kaitan dengan logik sains.

2) Manusia takut dengan sesuatu yang dia tidak tahu.

Contohnya, mengapa manusia takut bergerak dalam keadaan gelap? Kerana manusia tidak tahu apa yang ada disekelilingnya, yang membenarkan mereka untuk bergerak atau pun tidak. Maka pengetahuan kita yang cetek mengenai hantu ini, kita tidak tahu sejauh mana hantu ini boleh melakukan sesuatu kepada kita. Maka kita takut dan melarikan diri dari mereka.

3) Kekuatan atau "kuasa ghaib"

Sebahagian manusia takut kepada hantu, kerana "kuasa ghaib" yang mereka ada. Mereka membayangkan kemampuan2 jin yang boleh memudharatkan manusia. Namun sejauh mana kekuasaan makhluk ghaib ini yang sebenarnya, saya ulas kemudian.

Adakah salah takut kepada hantu?

Jika ketakutan kita kepada hantu kerana penampilan mereka yang menyeramkan, ianya normal dan tidak salah kerana fitrahnya kita bersifat demikian. Sama sahaja jika kita takut kepada harimau dan beruang yang mempunyai muka yang ganas dan menyeramkan.

Namun jika takutnya kita kepada hantu atau jin kerana membayangkan kekuasaan mereka, takut akan kemampuan mereka menganiaya manusia, adalah sesuatu yang salah, malah terdapat unsur2 syirik di situ. Boleh jadi kita mempercayai adanya kuasa lain yang hebat selain Allah. Dan boleh jadi ketakutan kita kepada jin ini melebihi ketakutan kita kepada Allah. Lebih buruk lagi, sebahagian manusia meminta2 perlindungan dan kelebihan daripada golongan jin ini kerana mempercayai "kuasa ghaib" yang mereka ada. Maka jatuhlah mereka dalam perbuatan syirik yang nyata.

Apabila ketakutan kita kepada "kuasa" hantu itu boleh mendekatkan kita dengan syirik, maka ia merupakan jawapan utama kepada persoalan pertama yang saya lontarkan. Iaitu tujuan golongan jin menakut2kan manusia adalah untuk mendekatkan manusia kepada syirik dengan kata lain menyesatkan manusia. Maka tidak hairan gangguan jin ini sering terjadi kepada masyarakat melayu islam di Malaysia, dan jarang di kalangan masyarakat india dan cina.

Namun tidak dinafikan sebab2 lain yang memungkinkan gangguan itu berlaku, iaitu kerana menjadi hiburan kepada mereka, juga kerana mereka rasa terganggu oleh manusia atau mereka suka kepada manusia tertentu dan cuba mengganggunya.

Yang peliknya, masyarakat melayu ini sering disajikan dengan cerita2 atau filem2 hantu, tambahan pula filem2 hantu ini merupakan antara filem yang terlaris di Malaysia. "Pontianak Harum Sundal Malam", "Hantu Kak Limah", "Khurafat", "Ngangkung" dan banyak lagi.


Hakikatnya fIlem2 ini menyerapkan budaya yang tidak sihat, membina masyarakat yang pengecut dan boleh sedikit sebanyak mendekatkan lagi masyarakat dengan syirik. Kita umpama membantu golongan2 jin ini dalam melakukan kerja2 mereka untuk menakut2kan manusia, malah kita memudahkan lagi kerja mereka apabila masyarakat menjadi penakut.

Filem2 ini memaparkan wajah2 hantu yang kadang kala tak pernah terbayang di minda kita, menunjukkan gangguan2 yang pernah wujud dan sebahagiannya tidak pernah pon terjadi. Juga menunjukkan kuasa2 hantu yang luar biasa, malah ada yang menunjukkan sesuatu yang di luar kemampuan jin itu sendiri untuk melakukannya...

Betulkah jin mempunyai kuasa?
Ya, tidak dinafikan Allah memberikan kepada golongan jin ini beberapa kelebihan yang tidak dipunyai oleh manusia, antaranya:

1) Mereka boleh melihat kita namun tidak sebaliknya melainkan mereka yg menjelmakan diri
2) Mereka boleh berubah kepada pelbagai bentuk jelmaan
3) Sebahagian dari mereka bersaiz amat besar dan tinggi
4) Mereka mempunyai tenaga yang kuat dan mampu mengangkat sesuatu yang berat
5) Mereka mampu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain dengan cepat
6) Mereka mempunyai hayat yang panjang
7) Mereka mampu merasuki manusia
8) Beberapa kemampuan gangguan sihir yang lain
(sihir merupakan ilmu hitam yang sedikit berbeza dari gangguan2 biasa, saya tidak mengulasnya di sini)

Namun sesekali kekuatan atau kelebihan yang Allah berikan kepada golongan jin ini tidak dapat memudharatkan manusia tanpa izin Allah. Lalu Allah memerintahkan manusia meminta perlindungan daripada-Nya. Maka haram hukumnya meminta perlindungan dari jin atau pon memuja mereka untuk mendapat perlindungan tersebut. Dan golongan jin ini sesekali tidak dapat memudharatkan manusia jika kita berlindung dengan ayat2 Allah.

Amat sedih melihat masyarakat melayu kita, yang sebahagiannya terlibat dengan aktiviti bomoh, memuja tempat2 yang dirasakan keramat, menyimpan barang2 warisan seperti keris atau tangkal, hatta meminta izin laluan kepada "atok" yang duduk pokok2 besar, dengan ucapan "Atok, cucu tumpang lalu..." dan sebagainya...

Siri televisyen "Dua Dunia"

Dua Dunia merupakan rancangan TV indonesia bersiri yang menunjukkan babak2 interaksi antara manusia dan jin. Mereka pergi ke tempat2 yang banyak terjadinya gangguan dan perbuatan syirik untuk menyingkap apa sebenarnya yang terjadi.

Rancangan ini bukanlah seperti rancangan paranormal kebanyakkannya yang mencari2 kewujudan hantu bagi bertujuan membuat rancangan yang seram dan menakutkan penonton, sebaliknya dua dunia menggalakkan manusia supaya menghilangkan rasa takut terhadap makhluk2 ghaib ini. Saya baru memaklumi akan wujudnya rancangan ini dan dah menonton banyak siri2nya di youtube. Saya tak berniat nak bercerita panjang mengenainya, namun apa yang menariknya, ada beberapa perkara yang kita boleh ambil mengajaran daripada hasil berdialog bersama golongan jin ini, antaranya:

1) Kebanyakkan jin yang mengganggu manusia, mereka mengakui bahawa mereka tidak mampu mengganggu orang beriman, sering solat dan membaca zikir sewaktu melintasi tempat mereka. Apabila ditanya, bagaimana mereka membezakan antara orang beriman dengan tidak, mereka kata, akan terlihat cahaya bersinar pada tubuh orang tersebut yang menjadikan mereka panas untuk mendekati apatah lagi mengganggu.

2) Mereka mengakui suka memanfaatkan tempat2 tertentu untuk menjadikan manusia mengamalkan amalan2 syirik iaitu di kawasan perkuburan, di tempat2 kematian dn orang membunuh diri, di tempat yang sering terjadi bencana atau kemalangan. Mereka hadir ditempat2 yang dianggap keramat seperti ini, mengganggu dan menjelmakan diri agar manusia menganggap kematian, kemalangan, dan bencana itu ada kaitannya dengan benda ghaib dan roh orang mati yang berkeliaran. Hakikatnya kejadian2 itu berpunca daripada faktor geografi dan roh itu sesekali tidak dapat dilihat atau berkeliaran melainkan golongan jin yang mengakui diri mereka sebagai orang yang mati itu.

3) Golongan jin ini menyatakan dan mengakui kebodohan manusia yang meminta-minta daripada mereka untuk kesenangan hidup tanpa bekerja keras. Golongan jin adalah makhluk yang mengakui kewujudan Allah walaupun mereka tidak beriman atau pun kafir. Maka mereka juga mengakui segala rezeki datangnya daripada Allah bukan dari golongan mereka

4) Jin-jin islam. Mereka merupakan golongan jin yang sudah mengucap dua kalimah syahadah. Dan mereka mampu membaca ayat2 al-quran, bersalawat ke atas nabi malah melaungkan azan tanpa merasa panas. Lebih menarik lagi apabila jin2 ini memberikan nasihat, tazkirah buat crew2 Dua Dunia yang hadir. Namun berhati2, kerana banyak juga jin kafir yang mengaku diri mereka sebagai muslim.

5) Oleh kerana jangka hayat jin ini terlalu lama, ada yang mencecah ribuan tahun, mereka merupakan makhluk yang pakar dalam sejarah tempat tinggal mereka. Menarik apabila mendengar mereka bercerita mengenai sejarah perjuangan mujahid2 indonesia menentang penjajahan belanda juga sejarah sesuatu tempat itu tertubuh.

Contohnya dalam satu babak dialog, "Seekor" jin menceritakan asal usul nama Surabaya (di Indonesia). Iaitu "Sura" bermaksud berani dalam bahasa mereka dan "Baya" bermasud bahaya. Nama itu diberikan kerana rakyatnya yang berani mengahadapi bahaya atau kata lainnya berani berjuang menentang penjajah pada zaman itu.

Namun kata2 jin ini tidak boleh kita jadikan dalil atau sumber sejarah, kerana kita tidak boleh memastikan kesohihanya, sama ada mereka berkata benar atau pun tidak. Cumanya penceritaan mereka boleh menguatkan lagi fakta sejarah yang ada, juga nasihat2 mereka boleh diambil untuk kebaikan. Maka interaksi dengan makhluk ghaib ini harus dipandu oleh orang wara' yang berilmu agar tidak terpesong.


Kesimpulan daripada penulisan saya ini,

Takutnya kita kepada hantu ini adalah disebabkan kurangnya keyakinan kita kepada kuasa dan perlindungan ayat2 Allah. Perasaan takut ini hakikatnya memberikan kesan2 buruk lain dalam kehidupan kita. Mungkin juga kerananya kita takut untuk pergi ke masjid di waktu gelap, bangun qiammullail dan beribadah di malam hari kerana membayangkan benda2 yang pelik di sebalik kegelapan malam. Juga ketakutan itu mengganggu dan membantutkan aktiviti kita pada waktu malam seperti tidur, 'study' atau buang air.

Di dalam islam, sifat penakut atau dalam bahasa arabnya "al-jubnu", merupakan satu sifat yang mazmumah dan tidak patut ada pada seorang muslim. Logiknya "takut tidak menjauhkan bahaya", hadir atau pun tidak sifat takut itu dalam diri kita, tidak mengubah apa2 kepada bahaya yang mendatang. Namun kita sering takut kepada sesuatu yang hakikatnya tidak bahaya...

Terdapat satu doa yang ma'thur untuk mengelakkan kita menjadi orang yang penakut:


Saya nasihatkan bagi mereka yang mempunyai anak atau adik yang masih kecil. Jangan sesekali memomokkan mereka dengan cerita-cerita hantu, apatah lagi membenarkan mereka menonton filem2 hantu. Jaga kesucian pemikiran mereka, jangan besarkan mereka dengan unsur2 syirik dan jangan menjadikan mereka seorang muslim yang penakut.

Jadi marilah sama2 kita melawan sifat takut itu dengan meningkatkan keyakinan kepada Allah. Kenali betul musuh kita iaitu syaitan, agar kita tahu tipu daya dan kelemahan mereka. Dan tidak wajar seorang muslim itu takut kepada musuhnya.

Jaga ibadah kita sebagai benteng, minta lah perlindungan dari Allah dengan zikir dan doa sebagai senjata.
Maka musuh yang utama bukanlah syaitan itu, tapi musuh yang utama itu adalah ketakutan yang hadir dalam diri kita sendiri atas ceteknya ilmu dan lemahnya iman kita.

Wallahua'lam...